Teks : Azlina Abd Aziz
Assalamualaikum dan
selamat sejahtera......
Salam perkenalan dari saya
yang bernama Azlina Abd. Aziz, itulah nama rasmi sejak lahir walaupun saya
mempunyai pelbagai gelaran nama semenjak kecil hingga dewasa. Panggilan paling
melekat sehingga kini ialah ‘mek’ walaupun itu adalah panggilan mesra untuk
kaum wanita yang berasal dari negeri cik mek molek.
Sedikit cerita di sebalik
panggilan ‘mek’ di mana satu ketika semasa berkhidmat di salah sebuah syarikat
arkitek di Damansara, penyambut tetamunya sering tersalah menyambungkan talian
kepada saya. Ini adalah kerana ada empat rakan sekerja yang mempunyai nama
lebih kurang sama dengan saya. Oleh kerana saya berasal dari pantai timur juga
iaitu Terengganu, rakan rakan mengambil keputusan memanggil saya dengan
panggilan baru ditambah pula diri ini jenis yang tidak kisah dan sudah biasa
dengan pelbagai panggilan. Justeru itu, gelaran ‘mek’ memang sinonim sehingga
kini dan walaupun begitu, saya lebih mementingkan nama penuh dalam urusan
rasmi, perkenalan baru mahupun urusan pekerjaan. Panggilan nama untuk keluarga
dan kawan-kawan dari bangku sekolah masih memanggil dengan gelaran nama yg lama
iaitu ‘ina’.
Zaman saya dari
kanak-kanak, remaja sehingga tamat sekolah menengah adalah bersama keluarga
tercinta di Ajil, Terengganu. Setelah memperolehi keputusan SPM, saya
memulakan langkah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Politeknik Sultan Abd Halim di Jitra, Kedah adalah yang pertama memberi peluang
tawaran menyambung pelajaran di sana, sedangkan dalam hati ini mahu ke Uitm di
Dungun, Terenganu. Namun peluang yang ada harus di ambil kerana itu adalah
rezeki dan saya tidak mahu membuang lebih banyak masa. Pada mulanya hati
ini tidak mahu berjauhan dengan keluarga namun saya akur dan terima
ketentuan Allah. Sebenarnya abang sulung yang menguruskan semua borang
permohonan sehingga dipanggil melapur diri. Dengan itu juga, tawaran ke
tingkatan 6 terpaksa di tolak. Saya pula hanya mengetahui jurusan yang bakal
ditempuhi itu sejurus surat tawaran diperolehi. Bidang senibina menjadi pilihan
abang sulung walaupun sebenarnya saya terlalu naif dengan perkataan itu. Atas
kesungguhan dan galakkan kedua ibu bapa serta keluarga, saya teruskan walau
berjauhan demi mengejar ilmu dan ingin membuat mereka merasa bangga
dengan pencapaian dalam menuntut ilmu.
Setelah tamat pengajian di
Kedah selama 2 tahun, saya memohon kerja sebagai pelukis pelan dan juga
pembantu teknikal. Sesungguhnya saya bersyukur kerana peluang pekerjaan
sebegini amat banyak dan memang diperlukan. Kenangan menulis surat permohonan
kerja secara tulisan manual tanpa bantuan komputer kerana tidak mampu ketika
itu memberikan sebuah kenangan manis. Dalam hati masih ragu dan tertanya-tanya,
orang akan tengok ke tulisan tangan. Alhamdulilah, rezeki tidak memandang
kebendaan juga. Tulisan tangan menjadi perhatian dan banyak temuduga yang
dipanggil. Dengan izin Allah sebulan selepas itu, saya terus mendapat tawaran
kerja di Subang Jaya, Selangor di sebuah syarikat arkitek. Dari situ bermulalah
karier di bidang senibina atau di syarikat-syarikat arkitek. Alhamdulillah
walaupun imbuhannya kecil sahaja, impian untuk membantu keluarga di kampung
tercapai jua.
Selama 3 tahun melayari
alam pekerjaan sebagai pelukis pelan AutoCad, akhirnya saya membuat keputusan
untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma pula. Tawaran diploma senibina
secara sepenuh masa dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak memberikan peluang
dan rezeki yang diidamkan semasa itu. Tamat pengajian, saya teruskan bekerja di
Kuala Lumpur semula kerana peluang bekerja di sana memang banyak dan pembantu
arkitek memang diperlukan. Selepas 3 tahun juga, saya menyambung pengajian
kembali tetapi secara separuh masa di Uitm, Shah Alam dan mengambil jurusan
yang lain iaitu jurusan pengurusan pembinaan. Ini kerana saya tahu bahawa
bidang arkitek bukanlah kepakaran saya walaupun bidang tersebut merupakan
pekerjaan yang profesional dan mampu menjana pendapatan yang tinggi seperti
kawan-kawan seperjuangan yang lain. Tetapi kenangan cabaran sewaktu menyambung
pengajian separuh masa ini sungguh menguji tahap fizikal dan mental kerana
setelah habis waktu bekerja di Sentul, terus memandu ke Shah Alam setiap hari
dan kebiasaannya kelas tamat jam 11 atau 12 malam. Tiada istilah rehat dalam
masa seharian kerana pulang ke rumah sahaja,membuat tugasan atau sebagainya
pula.Bagi bidang awam sebegini, cukup tidur atau tidak tidur sudah menjadi
lumrah bagi sesiapa dalam bidang senibina mahupun bidang sebegini. Namun
setelah menggulung ijazah dalam bidang tersebut, saya tetap meneruskan kerjaya
di bidang senibina.
Perkahwinan saya pula
berlangsung beberapa bulan sebelum majlis konvokesyen, kiranya itu juga
kenangan manis buat saya kerana naik ke pentas bersama kandungan sulung yang
berusia 3 bulan semasa itu. Rombongan keluarga dari kampung meraikan kejayaan
di samping suami tersayang. Akhirnya hasrat kedua ibu bapa melihat anaknya
berjaya tercapai. Alhamdulillah.
Langkah
baru di 2014 ini merupakan berita paling gembira buat anak sulung saya yang
masih di tadika kerana ‘Aliya’ lebih suka berada di rumah selepas pulang
dari kelasnya. Kini, setelah 3 orang cahayamata, pelbagai kenangan dan dugaan
telah ditempuhi, yang mana nanti akan saya abadikan dan kongsikan bersama untuk
coretan yang akan datang. Akhirnya saya bersara dari pekerjaan menguruskan
sebuah syarikat pembinaan selama 5 tahun yang lalu. Kini segalanya bermula di
sini di mana saya adalah salah seorang surirumahtangga sepenuh masa yang
bekerjaya dari rumah.
Syukur alhamdulillah ke
hadrat ilahi kerana dengan izinNya menemukan saya dengan Puan Masayu Ahmad
selaku pengasas akademi dan juga guru online saya Puan Aishah Hussein.
Pertemuan bermula dari
misi menjejak pekerjaan sepenuh masa atau sambilan dalam dunia internet untuk
suri di rumah. Pada mulanya saya masih kurang pasti dengan apa yang saya cari
sebelum ini. Tawaran bekerja sepenuh masa tetap ada namun jarak dan masa sangat
bernilai buat diri ini yang lebih mementingkan keluarga dan mengutamakan
anak-anak yang masih kecil. Setiap tawaran akan dikaji mengenai lokasi, masa
dan hari bekerja kerana kita tahu keupayaan diri kita jika bekerja sepenuh
masa, pulang lewat dan sampai ke taska lewat untuk mengambil anak-anak. Tidak
dapat saya bayangkan mereka menunggu setiap hari di depan pintu grill taska yang
mana umminya tidak kunjung tiba. Tidak sampai hati bila melihat kesedihan yang
tergambar dalam mata mereka.
Antara faktor utama dalam
membuat pemilihan untuk menguruskan anak anak sepenuhnya adalah perasaan
cemburu. Bukan cemburu buta, cemburu kepada kawan kawan yang sudah lama menjaga
anak anak mereka sendiri walaupun kebanyakkannya lulusan universiti dan ada
yang bekerja sendiri seperti menjahit di rumah. Sesungguhnya kini saya
berkongsi rasa apa yang mereka alami selama ini. Kerenah anak anak bermacam
macam dan ada yang di luar jangkaan, namun akan saya cuba harungi dan cuba
mempertingkatkan lagi ilmu kesabaran sebagai seorang ummi.
Subhanallah, Allah itu
Maha Mendengar. Niat di hati kesampaian jua walau saya tahu saya memang kosong
dan tiada sedikit ilmu pun dalam dunia blogging dan mencari sumber kewangan
secara online. Lagipun saya sentiasa berpegang kepada kata kata ‘rezeki ada di
mana mana’. Saya yakini Allah yang tentukan, kita harus bertawakkal dan
berusaha. Sekurang kurangnya kini saya telah menghadiri kelas akaun asas dalam
perniagaan bersama cikgu Khadijah Abdullah secara online sahaja di mana tidak
perlu untuk keluar dari rumah. Sesi kelas akaun tersebut menambahkan lagi ilmu
bersama sedikit pengalaman mengendalikan akaun syarikat semasa pernah bekerja
dahulu. Kalau difikirkan,seperti tidak logik sahaja, namun itulah kelebihan
zaman teknologi ini dan sungguh bermanfaat buat suri suri yang sepenuh masa di
rumah. Sebelum ini, rasa seperti tidak percaya bahawa boleh menghadiri kelas
secara online, di tambah pula diawasi oleh guru online iaitu Cikgu Aishah.
Mengenai penulisan pula hanya berbekalkan ilmu sastera yang pernah dipelajari
di sekolah menengah seketika dulu dan juga secebis pengalaman dalam membuat
skrip drama, mengarah serta berlakon untuk persembahan sekolah.
Berkenalan dengan Puan Masayu di facebook dan membaca hampir semua hasil blog tulisannya menjadikan diri ini begitu bersemangat dan teruja dalam mencuba dunia baru ini. Dalam hati ini bersuara, kalau dia boleh, takkan saya tidak boleh. Justeru itu, saya memulakan langkah dengan diiringi cadangan dan peluang kelas yang ada di akademi serta boleh membuat pelbagai pilihan yuran mengikut kemampuan. Lalu cadangan ini saya usulkan kepada suami untuk memohon restu dan beliau bersetuju. Alhamdulilah dengan izinmu ya Allah, lalu bermulalah perjalanan baru dalam hidup saya yang tidak pernah difikirkan oleh minda saya sendiri. Sesungguhnya menjadi suri sepenuh masa perlu mempunyai fokus dan disiplin dalam setiap apa yang dilakukan. Pengurusan masa memainkan peranan yang amat penting dalam rutin seharian disamping menyelesaikan tugasan dan tanggungjawab untuk akademi.
Salam sayang untuk semua.
Azlina Abd Aziz
No comments:
Post a Comment