Friday 17 January 2014

Selamat berkenalan

Teks : Azlina Abd Aziz






Assalamualaikum dan selamat sejahtera......

Salam perkenalan dari saya yang bernama Azlina Abd. Aziz, itulah nama rasmi sejak lahir walaupun saya mempunyai pelbagai gelaran nama semenjak kecil hingga dewasa. Panggilan paling melekat sehingga kini ialah ‘mek’ walaupun itu adalah panggilan mesra untuk kaum wanita yang berasal dari negeri cik mek molek.

Sedikit cerita di sebalik panggilan ‘mek’ di mana satu ketika semasa berkhidmat di salah sebuah syarikat arkitek di Damansara, penyambut tetamunya sering tersalah menyambungkan talian kepada saya. Ini adalah kerana ada empat rakan sekerja yang mempunyai nama lebih kurang sama dengan saya. Oleh kerana saya berasal dari pantai timur juga iaitu Terengganu, rakan rakan mengambil keputusan memanggil saya dengan panggilan baru ditambah pula diri ini jenis yang tidak kisah dan sudah biasa dengan pelbagai panggilan. Justeru itu, gelaran ‘mek’ memang sinonim sehingga kini dan walaupun begitu, saya lebih mementingkan nama penuh dalam urusan rasmi, perkenalan baru mahupun urusan pekerjaan. Panggilan nama untuk keluarga dan kawan-kawan dari bangku sekolah masih memanggil dengan gelaran nama yg lama iaitu ‘ina’.

Zaman saya dari kanak-kanak, remaja sehingga tamat sekolah menengah adalah bersama keluarga tercinta di  Ajil, Terengganu. Setelah memperolehi keputusan SPM, saya memulakan langkah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Politeknik Sultan Abd Halim di Jitra, Kedah adalah yang pertama memberi peluang tawaran menyambung pelajaran di sana, sedangkan dalam hati ini mahu ke Uitm di Dungun, Terenganu. Namun peluang yang ada harus di ambil kerana itu adalah rezeki dan saya tidak mahu membuang lebih banyak masa. Pada mulanya hati ini  tidak mahu berjauhan dengan keluarga namun saya akur dan terima ketentuan Allah. Sebenarnya abang sulung yang menguruskan semua borang permohonan sehingga dipanggil melapur diri. Dengan itu juga,  tawaran ke tingkatan 6 terpaksa di tolak. Saya pula hanya mengetahui jurusan yang bakal ditempuhi itu sejurus surat tawaran diperolehi. Bidang senibina menjadi pilihan abang sulung walaupun sebenarnya saya terlalu naif dengan perkataan itu. Atas kesungguhan dan galakkan kedua ibu bapa serta keluarga, saya teruskan walau berjauhan  demi mengejar ilmu dan ingin membuat mereka merasa bangga dengan pencapaian dalam menuntut ilmu.

Setelah tamat pengajian di Kedah selama 2 tahun, saya memohon kerja sebagai pelukis pelan dan juga pembantu teknikal. Sesungguhnya saya bersyukur kerana peluang pekerjaan sebegini amat banyak dan memang diperlukan. Kenangan menulis surat permohonan kerja secara tulisan manual tanpa bantuan komputer kerana tidak mampu ketika itu memberikan sebuah kenangan manis. Dalam hati masih ragu dan tertanya-tanya, orang akan tengok ke tulisan tangan. Alhamdulilah, rezeki tidak memandang kebendaan juga. Tulisan tangan menjadi perhatian dan banyak temuduga yang dipanggil. Dengan izin Allah sebulan selepas itu, saya terus mendapat tawaran kerja di Subang Jaya, Selangor di sebuah syarikat arkitek. Dari situ bermulalah karier di bidang senibina atau di syarikat-syarikat arkitek. Alhamdulillah walaupun imbuhannya kecil sahaja, impian untuk membantu keluarga di kampung tercapai jua.

Selama 3 tahun melayari alam pekerjaan sebagai pelukis pelan AutoCad, akhirnya saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma pula. Tawaran diploma senibina secara sepenuh masa dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak memberikan peluang dan rezeki yang diidamkan semasa itu. Tamat pengajian, saya teruskan bekerja di Kuala Lumpur semula kerana peluang bekerja di sana memang banyak dan pembantu arkitek memang diperlukan. Selepas 3 tahun juga, saya menyambung pengajian kembali tetapi secara separuh masa di Uitm, Shah Alam dan mengambil jurusan yang lain iaitu jurusan pengurusan pembinaan. Ini kerana saya tahu bahawa bidang arkitek bukanlah kepakaran saya walaupun bidang tersebut merupakan pekerjaan yang profesional dan mampu menjana pendapatan yang tinggi seperti kawan-kawan seperjuangan yang lain. Tetapi kenangan cabaran sewaktu menyambung pengajian separuh masa ini sungguh menguji tahap fizikal dan mental kerana setelah habis waktu bekerja di Sentul, terus memandu ke Shah Alam setiap hari dan kebiasaannya kelas tamat jam 11 atau 12 malam. Tiada istilah rehat dalam masa seharian kerana pulang ke rumah sahaja,membuat tugasan atau sebagainya pula.Bagi bidang awam sebegini, cukup tidur atau tidak tidur sudah menjadi lumrah bagi sesiapa dalam bidang senibina mahupun bidang sebegini. Namun setelah menggulung ijazah dalam bidang tersebut, saya tetap meneruskan kerjaya di bidang senibina.

Perkahwinan saya pula berlangsung beberapa bulan sebelum majlis konvokesyen, kiranya itu juga kenangan manis buat saya kerana naik ke pentas bersama kandungan sulung yang berusia 3 bulan semasa itu. Rombongan keluarga dari kampung meraikan kejayaan di samping suami tersayang. Akhirnya hasrat kedua ibu bapa melihat anaknya berjaya tercapai. Alhamdulillah.





Langkah baru di 2014 ini merupakan berita paling gembira buat anak sulung saya yang masih di tadika kerana ‘Aliya’ lebih suka berada di rumah selepas pulang dari kelasnya. Kini, setelah 3 orang cahayamata, pelbagai kenangan dan dugaan telah ditempuhi, yang mana nanti akan saya abadikan dan kongsikan bersama untuk coretan yang akan datang. Akhirnya saya bersara dari pekerjaan menguruskan sebuah syarikat pembinaan selama 5 tahun yang lalu. Kini segalanya bermula di sini di mana saya adalah salah seorang surirumahtangga sepenuh masa yang bekerjaya dari rumah.

Syukur alhamdulillah ke hadrat ilahi kerana dengan izinNya menemukan saya dengan Puan Masayu Ahmad selaku pengasas akademi dan juga guru online saya Puan Aishah Hussein.

Pertemuan bermula dari misi menjejak pekerjaan sepenuh masa atau sambilan dalam dunia internet untuk suri di rumah. Pada mulanya saya masih kurang pasti dengan apa yang saya cari sebelum ini. Tawaran bekerja sepenuh masa tetap ada namun jarak dan masa sangat bernilai buat diri ini yang lebih mementingkan keluarga dan mengutamakan anak-anak yang masih kecil. Setiap tawaran akan dikaji mengenai lokasi, masa dan hari bekerja kerana kita tahu keupayaan diri kita jika bekerja sepenuh masa, pulang lewat dan sampai ke taska lewat untuk mengambil anak-anak. Tidak dapat saya bayangkan mereka menunggu setiap hari di depan pintu grill taska yang mana umminya tidak kunjung tiba. Tidak sampai hati bila melihat kesedihan yang tergambar dalam mata mereka.

Antara faktor utama dalam membuat pemilihan untuk menguruskan anak anak sepenuhnya adalah perasaan cemburu. Bukan cemburu buta, cemburu kepada kawan kawan yang sudah lama menjaga anak anak mereka sendiri walaupun kebanyakkannya lulusan universiti dan ada yang bekerja sendiri seperti menjahit di rumah. Sesungguhnya kini saya berkongsi rasa apa yang mereka alami selama ini. Kerenah anak anak bermacam macam dan ada yang di luar jangkaan, namun akan saya cuba harungi dan cuba mempertingkatkan lagi ilmu kesabaran sebagai seorang ummi.

Subhanallah, Allah itu Maha Mendengar. Niat di hati kesampaian jua walau saya tahu saya memang kosong dan tiada sedikit ilmu pun dalam dunia blogging dan mencari sumber kewangan secara online. Lagipun saya sentiasa berpegang kepada kata kata ‘rezeki ada di mana mana’. Saya yakini Allah yang tentukan, kita harus bertawakkal dan berusaha. Sekurang kurangnya kini saya telah menghadiri kelas akaun asas dalam perniagaan bersama cikgu Khadijah Abdullah secara online sahaja di mana tidak perlu untuk keluar dari rumah. Sesi kelas akaun tersebut menambahkan lagi ilmu bersama sedikit pengalaman mengendalikan akaun syarikat semasa pernah bekerja dahulu. Kalau difikirkan,seperti tidak logik sahaja, namun itulah kelebihan zaman teknologi ini dan sungguh bermanfaat buat suri suri yang sepenuh masa di rumah. Sebelum ini, rasa seperti tidak percaya bahawa boleh menghadiri kelas secara online, di tambah pula diawasi oleh guru online iaitu Cikgu Aishah. Mengenai penulisan pula hanya berbekalkan ilmu sastera yang pernah dipelajari di sekolah menengah seketika dulu dan juga secebis pengalaman dalam membuat skrip drama, mengarah serta berlakon untuk persembahan sekolah.

Berkenalan dengan Puan Masayu di facebook dan membaca hampir semua hasil blog tulisannya menjadikan diri ini begitu bersemangat dan teruja dalam mencuba dunia baru ini. Dalam hati ini bersuara, kalau dia boleh, takkan saya tidak boleh. Justeru itu, saya memulakan langkah dengan diiringi cadangan dan peluang kelas yang ada di akademi serta boleh membuat pelbagai pilihan yuran mengikut kemampuan. Lalu cadangan ini saya usulkan kepada suami untuk memohon restu dan beliau bersetuju. Alhamdulilah dengan izinmu ya Allah, lalu bermulalah perjalanan baru dalam hidup saya yang tidak pernah difikirkan oleh minda saya sendiri. Sesungguhnya menjadi suri sepenuh masa perlu mempunyai fokus dan disiplin dalam setiap apa yang dilakukan. Pengurusan masa memainkan peranan yang amat penting dalam rutin seharian disamping menyelesaikan tugasan dan tanggungjawab untuk akademi.



Salam sayang untuk semua.


Azlina Abd Aziz




No comments:

Post a Comment